KESATUAN BAHASA

Wednesday, 8 March 2017

  •        Peraturan Linguistik

   Peraturan lingusitik berkaitan dengan peraturan penggunaan bahasa yang menitikberatkan ketepatan bentuk dan binaan bahasa. Aspek utama yang mewakili bentuk dan binaan sesuatu bahasa ialah sebutan, intonasi, ejaan, kosa kata dan tatabahasa. Kepatuhan kepada peraturan linguistik lebih ketara dan ditekankan dalam penggunaan bahasa yang berkaitan dengan urusan dan majlis rasmi, berbanding dengan urusan tidak rasmi. Sekurang-kurangnya ada dua faktor mengapa peraturan linguistik perlu diberi perhatian dalam urusan dan majlis rasmi. Yang pertama ialah untuk menjaga kesempurnaan perjalanan urusan atau majlis yang bergantung pada kejelasan mesej yang disampaikan.




  • ·         Peraturan Sosiolinguistik


   Peraturan bahasa yang kedua, iaitu peraturan sosiolinguistik pula berkaitan dengan penggunaan bahasa yang menitikberatkan hubungan sosial antara pembicara dengan pendengar (dalam konteks komunikasi lisan) dan antara penulis dengan pembaca (dalam konteks komunikasi tulisan). Contohnya ialah penggunaan kata sapaan yang betul, sama ada kata ganti diri mahupun kata panggilan hormat, yang ditentukan menurut sistem dalam masyarakat.

   Secara lebih luas, penggunaan bahasa perlu disesuaikan dengan konteks dalam masyarakat, baik disebabkan oleh faktor hubungan antara pembicara dengar khalayak, faktor suasana (misalnya antara rasmi dengan tidak rasmi), faktor bidang yang tertentu mahupun faktor media (lisan atau tulisan).

    Dalam pelaksanaannya, kedua-dua suasana berbahasa, iaitu rasmi dan tidak rasmi memerlukan kepatuhan kepada peraturan sosiolinguistik. Sebagai contoh, dalam urusan dan majlis rasmi di Malaysia, perlu dipatuhi penggunaan kata sapaan rasmi yang betul. Penggunaan gelar (seperti Tun, Tan Sri, Dato’, Dato’ Seri dan yang lain), panggilan hormat (seperti Yang Amat Berhormat, Yang Berhormat, Yang Amat Berbahagia, Yang Berbahagia, Yang Berhormat, Yang Berhormat Mulia dan sebagainya) serta kata ganti nama diri (seperti tuan dan puan) amat penting diberi perhatian sebagai salah satu adab atau unsur kesantunan bahasa.


  • ·        Peraturan Pragmatik


   Selain  itu, peraturan pragmatik menekankan penggunaan bahasa yang perlu disesuaikan dengan tujuan komunikasi. Peraturan ini berkaitan dengan penggunaan bahasa yang sopan dan berkesan. Maka itu, dalam perundingan, jual beli, ceramah, pengajaran, dialog dan sebagainya diperlukan penguasaan peraturan pragmatik supaya tujuan atau hajat kita tercapai dan pada waktu yang sama kesopanan bahasa terpelihara dan kita tidak menyakiti perasaan orang lain. Dalam bidang ilmiah, ilmu yang berkaitan dengan peraturan pragmatik disebut retorik.

   Antara yang dipentingkan termasuklah pemilihan kata, ungkapan dan wacana yang sesuai dengan tujuan pembicara, latar belakang khalayak, bidang dan suasana. Dalam wacana, misalnya, dapat dipilih wacana jenis penceritaan, pemaparan, penghujahan dan pembujukan.

   Tujuan dapat dikaitkan dengan bentuk wacana, iaitu sama ada wacana informatif, wacana khas (seperti majlis perasmian, majlis perpisahan dan yang lain) atau hiburan. Latar belakang khalayak berkaitan dengan ciri-ciri demografi seperti bangsa atau etnik, agama, budaya, usia, jantina, pendidikan dan kedudukan sosioekonomi. Bidang pula berkaitan dengan kekhususan topik yang dibicarakan, seperti bidang ilmiah, bidang industri, bidang pemasaran dan yang lain. Suasana berkaitan dengan pelbagai keadaan seperti tempat berlangsungnya komunikasi, tempoh atau jangka masa, kemudahan yang ada dan kesediaan khalayak.

No comments:

Post a Comment