·
Kesantunan Bahasa daripada Sudut Agama
Bahasa, menurut huraian ulama’ Islam dan juga ahli bahasa aliran mentalisme, berkaitan rapat dengan akal. Manusia disebut haiwan natiq atau rational animal disebabkan adanya dua unsur itu, iaitu akal dan bahasa pada dirinya.
Sifat natiq dan rasional dikaitkan dengan ciri manusia sebagai haiwan yang berakal dan berbahasa. Kedua-dua sifat itu menjadikan manusia makhluk yang paling istimewa dan sempurna kejadiannya di dunia ini (al-‘Alaq: 4). Sebagai makhluk yang istimewa dan mulia, manusia wajib menjaga kemuliaan akhlak dan salah satu tanda kemuliaan akhlak manusia ialah kesantunan bahasanya.
Bahasa merupakan wahana atau saluran akal sebagai alat berfikir dalam bentuk dua fungsi. Pertama, bahasa menjadi wahana atau saluran akal melahirkan idea, fikiran dan bahkan perasaan seseorang sehingga dapat disampaikan kepada pihak lain. Kedua, bahasa menjadi wahana yang menerima dan menafsirkan idea, fikiran atau perasaan daripada pihak lain sehingga penerima idea, fikiran atau perasaan itu faham dan mungkin perlu memberikan gerak balas atau respons.
Peranan bahasa sebagai penzahir dan penerima mesej itulah yang memungkinkan manusia dapat berkomunikasi untuk mewujudkan kesalingfahaman, persefahaman, perpaduan dan kerjasama ke arah kebaikan. Dengan berlangsungnya semua keadaan itu, manusia dapat membentuk cara hidup yang dikenal sebagai kebudayaan dan pada tingkat yang tinggi disebut tamadun atau peradaban.
Peranan bahasa dalam pembentukan kebudayaan dan tamadun manusia dapat diringkaskan seperti yang berikut:
1. Bahasa menjadi alat pemerolehan dan pengembangan ilmu - Dalam Surah al-Baqarah, ayat 31, dijelaskan bagaimana Allah mengajar Adam tentang nama sekalian ciptaan dan kejadian di alam, iaitu sebagai bukti bahawa pemerolehan dan pengembangan ilmu memerlukan bahasa sebagai alatnya.
2. Bahasa menjadi alat pendidikan dan pemasyarakatan (sosialisasi) – Pembentukan sahsiah yang bermula dengan institusi keluarga, rakan sebaya, institusi pendidikan formal (seperti sekolah), media massa dan masyarakat berlangsung dengan menggunakan bahasa sebagai alat penyaluran sistem kepercayaan, sistem nilai, adat dan kebudayaan keseluruhannya.
3. Bahasa menjadi tali pengikat persefahaman dan perpaduan – Baik dalam kalangan sesama bangsa, kaum atau suku mahupun dalam kalangan antara bangsa, kaum dan suku yang berlainan, bahasa menjadi alat yang membentuk persefahaman dan perpaduan manusia (al-Hujurat: 13).
Oleh sebab demikian besarnya peranan bahasa dalam pembentukan kebudayaan dan tamadun manusia, maka kesantunan bahasa menjadi perkara yang amat penting difahami dan diamalkan oleh setiap anggota masyarakat.
Prinsip utama agama Islam dalam kaitannya dengan kesantunan bahasa berhubungan secara langsung dengan dua peranan utama manusia di muka bumi, iaitu:
1. Menyerukan kebaikan (amar ma`ruf)
2. Mencegah kemungkaran (nahi mungkar)
·
Kesantunan Bahasa sebagai Warisan
Kebudayaan Bangsa
Kesantunan bahasa dalam masyarakat Melayu, iaitu masyarakat yang menjadi teras penghuni di Kepulauan Melayu sejak dua alaf lalu, merupakan salah satu warisan yang penting dalam pembentukan keperibadian bangsa hingga kini. Di Malaysia, Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang dirumuskan pada tahun 1971 meletakkan kebudayaan asal rantau ini, iaitu kebudayaan Melayu sebagai asas yang pertama.
Salah satu aspek kebudayaan Melayu yang menjadi asas kebudayaan kebangsaan negara ini ialah kesantunan bahasa yang menggambarkan kehalusan budi, pemikiran, falsafah, sistem nilai, sistem masyarakat dan seluruh aspek kebudayaan itu sendiri.
Sekian banyak unsur yang menggambarkan wujudnya kesantunan bahasa dirakamkan dalam pelbagai karya persuratan (seperti hikayat, syair, pantun, gurindam dan seloka) dan tradisi lisan (seperti pelipur lara, wayang kulit dan menora). Salah satu bentuk bahasa yang banyak mengungkapkan kesantunan bahasa ialah peribahasa, sama ada dalam bentuk yang dikenal sebagai simpulan bahasa, bidalan, perumpamaan, pepatah, perbilangan mahupun kata hikmat.
Kewujudan ribuan karya dalam pelbagai bidang (agama, ketatenegaraan, undang-undang, pensejarahan, seni sastera, warkah, perjanjian dan sebagainya) sejak ratusan tahun dalam persuratan Melayu menjadi bukti wujudnya kesantunan bahasa sejak lama dahulu. Jika dinilai dengan berasaskan tiga jenis peraturan bahasa yang telah disebut dalam bahagian Peraturan Bahasa sebagai Asas Kesantunan Bahasa, semua karya itu disusun dalam bahasa yang berperaturan, baik daripada sudut peraturan lingusitik, peraturan sosiolinguistik mahupun peraturan pragmatiknya.
No comments:
Post a Comment