Peraturan lingusitik berkaitan dengan peraturan penggunaan bahasa
yang menitikberatkan ketepatan bentuk dan binaan bahasa. Aspek utama yang
mewakili bentuk dan binaan sesuatu bahasa ialah sebutan, intonasi, ejaan, kosa
kata dan tatabahasa. Kepatuhan kepada peraturan linguistik lebih ketara dan
ditekankan dalam penggunaan bahasa yang berkaitan dengan urusan dan majlis
rasmi, berbanding dengan urusan tidak rasmi. Sekurang-kurangnya ada dua
faktor mengapa peraturan linguistik perlu diberi perhatian dalam urusan dan
majlis rasmi. Yang pertama ialah untuk menjaga kesempurnaan perjalanan urusan
atau majlis yang bergantung pada kejelasan mesej yang disampaikan.
- ·
Peraturan Sosiolinguistik
Peraturan bahasa yang kedua, iaitu peraturan sosiolinguistik pula
berkaitan dengan penggunaan bahasa yang menitikberatkan hubungan sosial antara
pembicara dengan pendengar (dalam konteks komunikasi lisan) dan antara penulis
dengan pembaca (dalam konteks komunikasi tulisan). Contohnya ialah penggunaan
kata sapaan yang betul, sama ada kata ganti diri mahupun kata panggilan hormat,
yang ditentukan menurut sistem dalam masyarakat.
Secara lebih luas, penggunaan bahasa perlu disesuaikan dengan
konteks dalam masyarakat, baik disebabkan oleh faktor hubungan antara pembicara
dengar khalayak, faktor suasana (misalnya antara rasmi dengan tidak rasmi),
faktor bidang yang tertentu mahupun faktor media (lisan atau tulisan).
Dalam pelaksanaannya, kedua-dua suasana berbahasa, iaitu rasmi
dan tidak rasmi memerlukan kepatuhan kepada peraturan sosiolinguistik. Sebagai
contoh, dalam urusan dan majlis rasmi di Malaysia, perlu dipatuhi penggunaan
kata sapaan rasmi yang betul. Penggunaan gelar (seperti Tun, Tan Sri,
Dato’, Dato’ Seri dan yang lain), panggilan hormat (seperti Yang Amat
Berhormat, Yang Berhormat, Yang Amat Berbahagia, Yang Berbahagia, Yang
Berhormat, Yang Berhormat Mulia dan sebagainya) serta kata ganti nama diri
(seperti tuan dan puan) amat penting diberi perhatian sebagai
salah satu adab atau unsur kesantunan bahasa.
Selain itu, peraturan pragmatik menekankan penggunaan bahasa
yang perlu disesuaikan dengan tujuan komunikasi. Peraturan ini berkaitan dengan
penggunaan bahasa yang sopan dan berkesan. Maka itu, dalam perundingan, jual
beli, ceramah, pengajaran, dialog dan sebagainya diperlukan penguasaan
peraturan pragmatik supaya tujuan atau hajat kita tercapai dan pada waktu yang
sama kesopanan bahasa terpelihara dan kita tidak menyakiti perasaan orang lain.
Dalam bidang ilmiah, ilmu yang berkaitan dengan peraturan pragmatik disebut
retorik.
Antara yang dipentingkan termasuklah pemilihan kata, ungkapan dan
wacana yang sesuai dengan tujuan pembicara, latar belakang khalayak, bidang dan
suasana. Dalam wacana, misalnya, dapat dipilih wacana jenis penceritaan,
pemaparan, penghujahan dan pembujukan.
Tujuan dapat dikaitkan dengan bentuk wacana, iaitu sama ada wacana
informatif, wacana khas (seperti majlis perasmian, majlis perpisahan dan yang
lain) atau hiburan. Latar belakang khalayak berkaitan dengan ciri-ciri
demografi seperti bangsa atau etnik, agama, budaya, usia, jantina, pendidikan dan
kedudukan sosioekonomi. Bidang pula berkaitan dengan kekhususan topik yang
dibicarakan, seperti bidang ilmiah, bidang industri, bidang pemasaran dan yang
lain. Suasana berkaitan dengan pelbagai keadaan seperti tempat berlangsungnya
komunikasi, tempoh atau jangka masa, kemudahan yang ada dan kesediaan khalayak.